Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Seri Fadillah Yusof berkata rombakan Kabinet diyakini mampu memacu setiap rancangan mahupun agenda yang telah disusun rapi oleh kerajaan Madani demi kesejahteraan rakyat. Foto: Bernama

Rombakan Kabinet perkasa gerak kerja dan pentadbiran Kerajaan Perpaduan – TPM Fadillah

KUCHING, 12 Dis: Rombakan Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini, bukan sekadar bertujuan mengisi kekosongan tetapi lebih dilihat kepada ke arah memperkasakan lagi gerak kerja dan pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata pelantikan muka baharu yang berwibawa, pengwujudan kementerian baharu, penyusunan semula bidang tugas di kementerian sedia ada dan pertukaran portfolio diyakini mampu memacu setiap rancangan mahupun agenda yang telah disusun rapi oleh kerajaan Madani demi kesejahteraan rakyat.

“Dalam membuat pertimbangan penyusunan semula Kabinet kepentingan negara dan politik yang stabil tentunya menjadi keutamaan Perdana Menteri.

“Ini amat penting kerana untuk kita mengerakkan dan memperkukuhkan ekonomi, asas utama adalah kedatangan pelabur serta politik yang stabil,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Fadillah juga percaya Perdana Menteri telah menilai dengan teliti, kesesuaian setiap Menteri dan portfolio yang diamanahkan berdasarkan pengetahuan serta kemahiran masing-masing, selepas melakukan pemantauan rapi sepanjang setahun Kerajaan Perpaduan.

“Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Perdana Menteri, kerana terus memberi kepercayaan kepada saya untuk menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri dan memberikan kepercayaan untuk saya menerajui kementerian baharu, Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam serta Menteri Bertanggungjawab Terhadap Hal Ehwal Sabah Sarawak,” ujarnya.

Seperti juga sepanjang setahun bersama Kementerian Perladangan dan Komoditi dan dua penggal di Kementerian Kerja Raya sebelumnya, beliau berikrar akan melakukan sebaik mungkin dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab di kementerian baharu ini.

Bagi Hal Ehwal Sabah Sarawak keutamaan akan saya berikan kepada meneruskan usaha menyelesaikan segera isu-isu tertunggak dan meletakkan MA63 ditempat sepatutnya, sekali gus merapatkan lagi jurang fizikal, ekonomi dan sosial antara Sarawak dan Sabah dengan Semenanjung.

“Tanpa mengira bangsa, agama dan merentasi fahaman politik, semoga kita dapat bersama-sama membina Malaysia Madani yang stabil, maju dan makmur berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan prinsip Rukun Negara,” ujarnya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment


Berita Berkaitan