LIMBANG, 12 Dis: Pembinaan surau di perumahan Taman Damai di sini bakal siap pada pertengahan tahun depan, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail.
Menurutnya surau yang boleh memuatkan 200 jemaah dalam satu-satu masa itu dibina dengan peruntukan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) berjumlah RM 400,000.
“Dengan siapnya surau ini diharap dapat memberi kepada kemudahan kepada penduduk disini dan ini merupakan hasrat kerajaan untuk menyediakan kemudahan asas seperti inilah tempat ibadat,tempat dewan permainan, perhimpunan dan jalan dan sebagainyalah,” katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja ke Projek Pembinaan Surau Perumahan Taman Damai Limbang hari ini.
Dalam pada itu, Abdul Rahman mmengakui peruntukan RTP berjumlah RM5 juta itu banyak memberi manfaat kepada rakyat dalam menyediakan kemudahan dan merancakkan pembangunan luar bandar.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah itu berkata RTP yang diilhamkan di bawah kepimpinan Allahyarham Tan Sri Adenan Satem (Tok Nan) dan diteruskan di bawah kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) melalui Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Menurutnya peruntukan itu memberi impak besar dalam menyediakan kemudahan asas dan prasarana di setiap kampung.
“Terima kasih kepada kerajaan GPS terdahulu di bawah kepimpinan Allahyarham Tok Nan dan diteruskan oleh kepimpinan Premier Sarawak kita dengan meneruskan peruntukan yang kita namakan RTP, yang mana setiap kawasan DUN diperuntukkan RM5 juta untuk projek-projek kecil speerti ini,” ujarnya.



