KUALA LUMPUR, 12 Dis: Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) akur dengan keputusan Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) yang memutuskan untuk menggunakan sistem kiraan 15 mata serta setiap regu hanya memperoleh satu servis berbanding sekarang tiga kali bagi semua kejohanan peringkat domestik dan antarabangsa bermula 1 Feb tahun depan.
Presiden PSM Datuk Mohd Sumali Reduan bagaimanapun memaklumkan pihaknya masih akan berbincang dengan ISTAF bagi mengekalkan sistem kiraan 21 mata jika mempunyai peluang berbuat demikian menerusi perjumpaan bersama badan antarabangsa itu pada masa akan datang.
Beliau berkata sistem kiraan mata baharu itu dilihat tidak bersesuaian kerana berkemungkinan tidak memberi kepuasan kepada pemain serta penonton yang hadir apabila tempoh masa perlawanan dipendekkan.
“Kita (PSM) sudah beri cadangan (untuk satu servis tetapi kekal 21 mata), tetapi keputusan pun sudah dibuat jadi kita kena ikut. Maknanya kami akur dengan keputusan ISTAF kenalkan 15 mata kiraan, namun nanti kalau ada ruang perjumpaan (bersama ISTAF) saya akan suarakan lagi (kekalkan sistem kiraan 21 mata).
“Kita pernah buat demo kiraan 15 mata cuma bezanya kita tidak buat tiga servis ketika itu dan sudah perhalusi macam tiada kesesuaian memandangkan masa yang terlalu pendek dengan keunikan atau seni sukan takraw akan hilang sedikit,” katanya kepada pemberita di sini malam tadi.
Sumali berkata kejohanan Asia di Korea Selatan pada April tahun depan berkemungkinan merupakan acara pertama yang akan menggunapakai sistem baharu berkenaan diikuti kejohanan Piala Dunia di ibu negara (Kuala Lumpur) pada Mei.
Ketika ditanya sekiranya Malaysia akan mempunyai kelebihan atau sebaliknya dengan sistem baharu yang diperkenalkan ISTAF, beliau berkata masih belum mengetahui kebaikan sistem berkenaan buat masa ini.
“Kelebihan? Semua pun tidak tahu kerana Thailand, Indonesia dan mana-mana negara lain juga mungkin tidak tahu tetapi masa yang terlalu singkat (menggusarkan kami).
“…hanya selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Sukan bersama Majlis Sukan Negara esok (12 Dis) kita akan putuskan bila akan mula berlatih bersama barisan kejurulatihan dan pemain guna sistem baharu,” katanya.
Setiausaha Agung ISTAF Abdul Halim Kader semalam memaklumkan menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif ISTAF yang berlangsung pada 8 Dis memutuskan akan mengguna pakai sistem kiraan 15 mata serta setiap regu memperoleh satu servis berbanding sekarang tiga kali bagi semua kejohanan peringkat domestik dan antarabangsa bermula 1 Feb tahun depan.
Beliau berkata menerusi sistem kiraan 15 mata, sekiranya pasukan terikat 14-14, maka satu daripada regu yang meraih mata ke-17 akan dikira sebagai pemenang. -TVS