KUCHING, 8 Ogos: Lebih 1,000 pakar serta pemain industri akan berkumpul di Sarawak sempena penganjuran Forum Tenaga Lestari dan Tenaga Boleh Diperbaharui (SAREF) edisi ketiga.
Acara anjuran Sarawak Energy Berhad (SEB) bersama Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak serta Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak itu akan berlangsung pada 6 dan 7 September depan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).
Naib Presiden Kanan (Kontrak dan Perolehan) SEB Yusri Safri berkata forum itu bertemakan Regional Net Zero and Sustainable Communities, Renewable Energy Development and Interconnections.
“Forum akan berkisar kepada kesalinghubungan dan cara untuk menghubungkan ASEAN melalui sambungan grid.
“Terdapat banyak faedah untuk kesalinghubungan dan ia akan dikongsikan pada forum itu kelak,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat bertemu Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia di sini hari ini.
Abang Johari juga dijangka akan merasmikan forum antarabangsa itu.
Sementara itu, Yusri berkata, jalinan kesalinghubungan serantau dalam bidang tenaga adalah selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang digariskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“SAREF 3.0 juga akan memberi tumpuan kepada inisiatif sifar bersih serta pembangunan tenaga hijau serantau terutama agenda mobiliti hijau melalui penyertaan sektor kenderaan elektrik (EV).
“Forum kali ini juga akan menampilkan Dame Christiana Figueres yang merupakan nama besar dalam bidang kelestarian dan perubahan iklim serta seorang individu yang penting di sebalik Perjanjian Paris sebagai penceramah,” katanya lagi.
Penganjuran SAREF julung kali diadakan pada 2019 dan SAREF 2.0 berlangsung pada 2021.
Kunjungan hormat hari ini turut disertai Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Dr Hazland Abang Hipni, Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta delegasi SEB.- TVS



