KUCHING, 8 Ogos: Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak akan melaksanakan pendaftaran inisiatif Endowment Fund Sarawak (EFS) secara automatik.
Menterinya, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, perkara itu dijadualkan akan mula dilaksanakan pada 1 Januari 2024.
“Namun kementerian akan membuat pengumuman lanjut setelah mendapatkan kelulusan daripada Kabinet Kerajaan Sarawak,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa EFS kali kedua, di Bangunan Baitulmakmur II, di sini hari ini.
Mengulas mengenai EFS bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Julai lalu, Fatimah memberitahu, seramai 12,450 bayi yang dilahirkan di Sarawak bagi tempoh berkenaan sudah mendaftar untuk menerima faedah berkenaan.
“Jumlah berkenaan membabitkan 66 peratus daripada 19,372 kelahiran dicatatkan bagi bayi berstatus K.
“Oleh itu, dalam tempoh setahun selepas bayi dilahirkan, saya menyeru ibu bapa untuk memohon inisiatif ini sebagai persediaan melanjutkan pelajaran oleh anak mereka, memulakan karier atau sebagai modal kecil perniagaan,” katanya.
Sementara itu Fatimah turut memaklumkan sebanyak 100,202 akaun EFS yang sudah dibuka, sejak pelaksanaan program itu pada 2019.
“Ini melibatkan peruntukan sebanyak RM100.2 juta oleh Kerajaan Sarawak,” katanya. – TVS



