SERIAN, 8 Ogos: Konvoi Kembara Jalur Gemilang 2023 peringkat Sarawak tiba di hentian pertama di sini selepas pelepasan pada 3 Ogos lalu.
Program anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) itu memilih Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Serian sebelum diteruskan ke bahagian lain.
Ahli Parlimen Serian, Datuk Sri Richard Riot Jaem berkata, program berkenaan dapat menyuntik semangat kemerdekaan dan cintakan Jalur Gemilang dalam kalangan masyarakat tempatan terutamanya pelajar sekolah.
“Ini merupakan julung kalinya majlis ini diadakan secara besar-besaran. Kita dapat melihat penyertaan para pelajar SMK Serian yang amat memberangsangkan,” katanya kepada pemberita selepas majlis berkenaan.
Rombongan diketuai oleh Timbalan Pengarah Jabatan Penerangan (JaPen) Sarawak, Aziz Abdul Rahman Tuah.
Turut hadir, Pegawai Penerangan Daerah Serian, George Humprey Dolek dan Penolong Kanan Pentadbiran SMK Serian, Repent Sayeng.
Untuk rekod, sebanyak 13 lokasi di Sarawak dan Sabah telah terpilih sebagai destinasi hentian konvoi.
Terdahulu, Majlis Pelancaran Konvoi Kembara Merdeka dan Kibar Jalur Gemilang telah disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.-TVS.

