KUCHING, 7 Julai: Konotasi negatif terhadap pertandingan berasaskan kecantikan dan ketampanan harus diubah kerana pertandingan tersebut masa kini mencakupi aktiviti bersifat kemasyarakatan.
Pemenang Mister National Universe 2023, Dr Benedict Yu, 28, berkata pertandingan seperti ini memberikan peluang kepada peserta untuk berbakti kepada masyarakat dengan menjalankan kerja-kerja amal.
Beliau yang merupakan Pengamal Perubatan Kulit dan Kesihatan Lelaki menjelaskan, dirinya memiliki kelebihan untuk memberi sumbangan berbentuk perkhidmatan perubatan kepada golongan yang memerlukan.
“Selain kerja amal yang biasa seperti menyumbang makanan dan pakaian, saya mampu memberikan perkhidmatan perubatan kepada mereka kerana penjagaan kesihatan adalah sangat penting.
“Oleh kerana kini saya telah dinobatkan sebagai Mister National Universe, saya berpeluang untuk menjalankan kerja-kerja amal bukan sahaja dalam negara tetapi juga di luar negara seperti Thailand dan Filipina,” katanya ketika ditemui TVS, semalam.
Anak Sino-Dusun kelahiran Kota Kinabalu, Sabah itu berkata pelbagai kriteria yang diperlukan untuk menjadi pemenenang bagi pertandingan seperti ini.
Berbeza daripada sebelum ini, para juri kini menitikberatkan latar belakang pendidikan serta kecerdasan (IQ) peserta, dan bukan hanya menilai paras rupa sahaja.
“Pertandingan ini bukan hanya melihat kepada tahap kecergasan atau fizikal individu itu tetapi mereka (peserta) juga perlu bijak. Beauty with brain.
“(Ini kerana) pemenang akan menjadi inspirasi kepada orang ramai dan akan dipandang tinggi, jadi mereka perlu bijak dalam mempersembah diri kepada orang ramai sebagai seorang pemimpin,” katanya.
Mengulas mengenai penglibatannya dalam pertandingan berasaskan ketampanan, Dr Benedict telah mengambil masa selama tiga tahun bagi mempersiap dirinya untuk mengikuti Mister National Universe 2023.
Pertandingan Mister National Universe 2023 berlangsung di Thailand pada 19 hingga 27 Jun dan disertai oleh peserta-peserta dari 22 negara termasuk England, India, Rusia dan Indonesia. – TVS



