KUCHING, 7 Julai: Kumpulan terkenal dari Indonesia, Ungu bakal menghiburkan warga Sarawak menerusi Konsert Rakyat di Padang Merdeka di sini pada 22 Julai.
Genap 26 tahun bertapak dalam industri muzik, Ungu yang dibarisi Pasha (vokalis), Enda (pemain gitar), Oncy (pemain gitar), Makki (bass) dan Rowman (drum) terkenal dengan lagu hits seperti Cinta Dalam Hati, Tercipta Untukku dan Kekasih Gelapku.
Menurut kenyataan media yang diedarkan pada sidang media dipengerusikan oleh Menteri Pelancongan, lndustri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, konsert perdana itu akan diadakan dalam tiga segmen.
Buku 60 Tahun Sarawak Merdeka, Sarawak Maju Makmur dilancarkan 22 Julai ini
“Untuk prapersembahan, kita bakal menampilkan artis-artis tempatan seperti Masterpiece Band, Elizabeth Paya, Bob Yunus, Ng Chien Chien, Firdaus Materang, Carrie Geres dan Ramles Walter.
“Segmen kedua pula kita tampilkan artis-artis seperti Joe Flizzow, Dato Awie, Dolla dan Floor 88 manakala kita akan menampilkan Kumpulan Ungu dari Indonesia bagi kemuncak konsert perdana,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Selain itu, antara acara utama sempena sambutan kemerdekaan ini ialah Konvoi Kembara Sarawak Merdeka yang membabitkan jelajah dari utara ke selatan negeri ini.
Buku 60 Tahun Sarawak Merdeka, Sarawak Maju Makmur dilancarkan 22 Julai ini
Pada 21 Julai, Majlis Kesyukuran Perdana akan diadakan membabitkan dua badan pengelola iaitu Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) dan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR).
Pada 22 Julai, akan diadakan acara Perhimpunan dan Perarakan, Majlis Penyampaian Pingat Peringatan Jubli Intan (2023), Majlis Jamuan Negeri dan Konsert Rakyat.
Sambutan 60 Tahun Sarawak Merdeka diteruskan lagi dengan mengadakan Acara Perarakan Kapal Berhias yang bakal disertai 22 kapal berhias pada 29 Julai 2023 di Tebingan Kuching. – TVS



