KOTA SAMARAHAN, 7 Julai: Rakyat Sarawak akan menerima manfaat sejajar dengan statusnya kini sebagai negeri berpendapatan tinggi seperti dinyatakan oleh Bank Dunia.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, rakyat akan menerima manfaat dari sektor-sektor yang dibangunkan seperti pelancongan, pertanian, pembuatan dan infrastruktur dan utiliti.
“Selepas ini apabila kita berbicara tentang pendapatan individu yang boleh dikaitkan dengan pendapatan negeri, pendapatan ini akan kita agih kepada pembangunan yang kita rancang menerusi PCDS 2030 dan ini akan memberikan satu ekosistem iaitu masyarakat akan menerima manfaat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Masjid Al Malik, Taman Uni Garden, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Abang Johari berkata apabila siapnya infrastruktur yang dibangunkan Kerajaan Sarawak dalam tempoh 2025 dan 2026, rakyat di negeri ini akan dapat memanfaatkannya bagi meningkatkan pendapatan mereka.
“Apabila siap infrastruktur ini, rakyat akan dapat menggunakan bakat mereka untuk meningkatkan pendapatan mereka masing-masing mengikut keupayaan mereka.
“Kalau yang malas memang tidak dapat tingkatkan pendapatan, tetapi sebaliknya kepada yang rajin dan mempunyai bakat.
“Sebab itu kita menekankan kepada tiga perkara iaitu pembangunan bakat, infrastruktur asas dan teknologi,” ujarnya.
Abang Johari menambah pengiktirafan Bank Dunia kepada Sarawak sebagai negeri berpendapatan tinggi menunjukkan negeri ini berada di landasan tepat untuk menjadi negeri maju menjelang 2030.
“Ia merupakan data ekonomi statistik yang memberi data indikator bahawa ekonomi kita membangun dengan baik,” katanya.
Sarawak berpendapatan tinggi hasil kestabilan politik negeri, inisiatif Premier cari dana – Rosey
Pada Khamis, Ketua Ahli Ekonomi Malaysia Bank Dunia, Dr Apurva Sanghi di Twitter miliknya memberitahu bahawa Sarawak kini telah mencapai status negeri berpendapatan tinggi di Malaysia.
Ciapan itu menunjukkan Sarawak kini telah melepasi Ambang Pendapatan Tinggi 2022 dengan melebihi USD13,205 Pendapatan Negara Kasar (GNI) per kapita.
Data itu turut menunjukkan Sarawak tergolong dalam kategori negeri berpendapatan tinggi di Malaysia bersama Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan (WP) Labuan dan WP Kuala Lumpur. – TVS



