LIMBANG, 7 Julai: Selepas berjaya melancarkan lagu dalam bahasa Iban, Bob Yusof bakal tampil dengan himpunan lagu-lagu rakyat Sarawak sebagai buah tangan terbaharunya untuk peminat tersayang.
Menurut penyanyi bersuara emas kelahiran Limbang ini, dirinya dan lagu genre asli serta tradisional umpama irama dan lagu yang tidak dapat dipisahkan.
Jelasnya projek terbaharu itu sebagai satu inisiatifnya yang terlalu mencintai lagu-lagu asli dan tradisional, selain tidak mahu lagu-lagu lama pupus dek arus kemodenan.
“Memang merancang untuk membuat satu lagu-lagu ataupun mungkin berbentuk album insya-Allah kalau ia nya dikabulkan dan dipermudahkan segala urusannya, kami akan membuat himpunan lagu-lagu rakyat Sarawak dan mungkin kita akan pilih beberapa negeri lain juga untuk kita masukkan lagu-lagu rakyat.
“Album ini juga akan memuatkan beberapa lagu daripada kampung halaman saya, daripada Limbang contohnya macam lagu ‘ Isai Induai’, lagu-lagu rakyat contohnya kalau di Sarawak ini terkenal dengan lagi berjudul tergeleng-geleng, “ katanya ketika berkongsi perkembangan terbaharunya ketika ditemui TVS di kediamannya di Limbang hari ini.
Penyanyi yang terkenal dengan sifat yang merendah diri itu menjelaskan himpunan lagu-lagu rakyat itu akan dimuatkan dalam satu album sebagai satu perancangan bersama pasukan muziknya untuk menjaga dan memelihara lagu rakyat agar tidak pupus dan dapat diwariskan untuk generasi akan datang.
Bagi merealisasikan hasrat itu katanya, beliau akan mendapatkan tajaan daripada pihak luar dan kementerian yang berkaitan.
Bob atau nama sebenarnya, Yusrizan Usop, 42, juga teruja apabila bakal bergandingan semula dengan rakan-rakan lama ketika bersama dalam sebuah program realiti TV untuk menjayakan sebuah konsert reunion.
“Sebuah konsert reunion mengabungkan artis-artis, sahabat-sahabat saya seperjuangan yang dulunya kami berada di sebuah realiti TV dan kami ingin melakukan satu konsert reunion tapi insya-Allah benda itu masih lagi dalam statusnya perbincangan dengan penaja.
“Kalau ia sudah dimuktamadkan insya-Allah ia nya akan kami laksanakan kalau tidak tahun ini mungkin awal tahun depan kerana ia mengambil tempoh 20 tahun kami berada di dalam arus industri muzik,” katanya.
Selain itu, katanya beliau juga dalam persediaan untuk menjayakan sebuah konsert pada Ogos depan bersama Orkestra Pilharmonik Malaysia (MPO) Petronas yang akan terbang ke Kuching untuk pemilihan lagu-lagu terbaik daripada pihak MPO sendiri.
Bob yang juga naib juara Gegar Vaganza 9 (GV9) turut menitipkan pesan kepada penyanyi baharu atau ‘budak baru nak up’ (BBNU) supaya tidak menimbulkan kontroversi untuk kekal bertahan.
“Jadi seseorang penghibur yang terbaik, bijak, berfikir jauh dan matang dalam industri kerana bagi saya, bila memasuki industri muzik Malaysia, ianya adalah satu pekerjaan yang harus anda lakukan untuk memberikan yang terbaik di dalam industri itu sendiri.
“Kita perlu menyampaikan lagu-lagu dan idea terbaik dan boleh membawa industri muzik itu ke taraf yang lebih besar lagi, di dunia ini.
“Saya mengalu-alukan kedatangan mereka yang baharu, BBNU ini tetapi pililah karya yang terbaik, pilihlah sesuatu semangat yang baik, jangan jual kontroversi jangan jual benda-benda yang tidak elok,juallah bakat dengan jalan yang baik,” katanya.
Menurutnya tidak mengejar populariti menyebabkan dirinya masih diterima dengan baik selama tempoh 20 tahun berada dalam industri muzik Malaysia.
Malah jelasnya, prinsipnya untuk menjadikan karier nyanyian sebagai periuk nasi dan sentiasa bekerja untuk diri sendiri dan memikirkan apa yang terbaik untuK masyarakat terus menjadi pegangan.-TVS



