Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Awang Tengah (dua kiri) bersama (dari kiri) Hamidah, Yunus, Awang Nazri, Parum dan Awangku Jinal (kanan) selepas Penyerahan Sumbangan Geran Tambahan, Projek Kecil Luar Bandar (MRP) 2022 Daerah Limbang. Foto: TVS.

Pengiktirafan Bank Dunia, Sarawak pada landasan tepat kembangkan ekonomi – Awang Tengah

LIMBANG, 7 Julai: Pengiktirafan Sarawak sebagai sebuah negeri berpendapatan tinggi oleh Bank Dunia memperlihatkan negeri ini berada pada landasan tepat dalam usaha mengembangkan ekonomi dan menarik pelabur luar.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pencapaian itu baik dan positif selain menunjukkan kesungguhan kerajaan negeri membangunkan Sarawak ke arah negeri maju menjelang tahun 2030.

Beliau berkata Sarawak terus menumpukan usaha untuk membangunkan infrastuktur asas, kesihatan, pendidikan dan kemahiran menuju pendigitalan seterusnya mengembangkan sektor-sektor utama.

“ini adalah selari dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 dan kita hendak mencapai dan meningkatkan terus usaha kita ini agar sasaran kita tercapai.

“Pertama kita hendak tumpukan dari segi pembangunan infrastruktur dan kemudahan-kemudahan asas lain. Misalnya jalan raya, jambatan, bekalan air, bekalan elektrik, telekomunikasi dan kemudahan-kemudahan lain.

“Dari segi infrastruktur kesihatan, pendidikan, bagaimana kita hendak tingkatkan kemahiran untuk meningkatkan infrastruktur yang akan melonjakkan kita dari segi digital platform yang boleh kita gunakan untuk semua aspek, itu adalah penting,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Geran Tambahan, Projek Kecil Luar Bandar (MRP) 2022 Daerah Limbang di Pejabat Residen Limbang pada Jumaat.

Turut hadir Residen Bahagian Limbang, Yunus Thambi, Wakil Pegawai Daerah Limbang, Hamidah Halpi, Ketua Polis Daerah Limbang, Superintenden Parum Niot, Penguasa Tanah dan Survei (JTS) Bahagian Limbang, Awang Nazri Awang Saperi dan Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Jawa.

Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar dan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak itu menambah lagi, Sarawak juga akan menumpukan pembangunan ekonomi secara mapan, termasuk sektor pembuatan dan pelaburan memandangkan negeri ini mempunyai potensi yang besar, asas serta sumber yang kukuh.

“Sarawak adalah merupakan salah satu destinasi pelaburan yang dipilih oleh pihak pelabur sama ada diluar dan di Malaysia dan sektor pembuatan, minyak dan gas dan sektor utama lain kita akan pertingkatkan.

“Kita juga menumpukan kepada usaha memodenkan sektor pertanian, penternakan, aquakultur supaya kita dapat membangunkan sektor ini dalam bentuk yang moden dan komersil memberi kesan kepada masyarakat kita di bandar dan dipinggir bandar,” katanya.

Pada Khamis, Sarawak dilaporkan sebagai sebuah negeri berpendapatan tinggi, menurut ahli ekonomi Bank Dunia, Apurva Sanghi.

Dalam ciapannya di twitter, Apurva berkata, pendapatan negara kasar (PNK) Sarawak telah melebihi ambang pendapatan tinggi AS$13,205 (RM61,500).

“Sementara Malaysia meneruskan usaha untuk menjadi negara berpendapatan tinggi, terdapat satu kejutan yang menarik – Sarawak kini sebuah negeri berpendapatan tinggi,” katanya.-TVS

 

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan