KUCHING, 7 Julai: Kerisauan yang diutarakan Liana Sari Santud bahawa dirinya tidak diterima melanjutkan pengajian di Universiti Teknologi Sarawak (UTS) dan tidak layak menerima biasiswa dan faedah lain telah selesai seperti disahkannya menerusi video dimuat naik ke TikTok semalam.
Menurutnya, pihak UTS menjelaskan bahawa beliau akan dilayan seperti pelajar Sarawak yang lain walaupun belum memiliki status sebagai warganegara.
Liana boleh memohon taraf ‘Penduduk Sementara’ lanjutkan pengajian – Fatimah
“Bantuan yang diberikan adalah sama seperti pelajar yang lain dan saya berhak mendapat bantuan yang disediakan.
“Isu saya untuk masuk ke universiti melanjutkan pengajian ijazah sarjana muda, selesai dan saya akan melanjutkan pengajian walaupun hanya menggunakan sijil lahir,” katanya.
Liana, 20, berkata pada petang semalam, beliau menerima WhatsApp daripada UTS untuk berbincang masalah dihadapinya.
Jelasnya, pihak universiti juga akan membantu dalam proses memohon kewarganegaraan.
“Mereka akan membuat temujanji saya dengan (Pengerusi UTS) Datuk Dr Annuar Rapaee bagi membincangkan dengan lebih lanjut permasalahan yang saya hadapi,” ujarnya.
Liana yang berasal dari Rumah Sika, Pasai Siong, Sibu berkata, ibu bapanya Santud Danong dan Gading Gandut Ngerantar serta dua lagi adiknya juga tidak mempunyai kewarganegaraan walaupun dilahirkan di Sarawak.
Justeru, beliau amat berharap isu kewarganegaraan dihadapi mereka dapat diselesaikan segera.
Dr Annuar menerusi laporan portal berita berkata UTS akan membenarkan Liana melanjutkan pelajarannya walaupun dia tidak mempunyai kewarganegaraan.
“Tiada isu untuk dia belajar di UTS, dengan atau tanpa kad pengenalan. Kami melayannya sama seperti rakyat Sarawak yang lain dan sebab itu dia juga layak mendapat pengajan asas percuma, yang dibiayai oleh kerajaan negeri,” kata Dr Annuar yang juga Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat. – TVS



