KUCHING, 7 Julai: Dianggarkan sekitar 50,000 pengunjung pelbagai lapisan masyarakat dijangka hadir menyertai aktiviti yang bakal diadakan sepanjang sambutan Ulang Tahun Ke-60 Sarawak Merdeka di Bahagian Kuching.
Residen Bahagian Kuching, Fathi Hambali berkata, aktiviti utama iaitu Konvoi Kembara Sarawak Merdeka Bahagian Kuching pada 20 Julai akan bermula di Majma Mall menjelajah menuju ke Telok Melano Lundu dan seterusnya ke Dewan Suarah Bau sebagai lokasi terakhir.
Menurutnya pada masa sama pelbagai pengisian menarik menanti ketibaan Konvoi Kembara di lokasi perhentian antaranya jerayawara di sekitar bandar Lundu dan persembahan daripada masyarakat berbilang kaum dan bangsa di Bau.
“Selepas itu, mereka akan terus menuju ke Dewan Suarah Bau yang bakal disambut dengan persembahan masyarakat berbilang bangsa. Konvoi tersebut dijangka akan terus bertolak balik ke Kuching serta dijangka tiba pada pukul 6 petang di Kuching,” katanya ketika ditemu bual di Pejabat Residen Bahagian Kuching, pada Jumaat.
Menurutnya tiga program sampingan bakal memeriahkan sambutan tersebut iaitu Pameran Sarawak Digital bermula 21 hingga 23 Julai bertempat di Plaza Merdeka pada pukul 9.30 pagi hingga 9.30 malam, Program Sarawak Aktif pada 21 Julai di Dewan Suarah Kuching merangkumi aktiviti kecergasan, sukan ekstrem, sukan rekreasi dan ‘plogging’ serta Sarawak Kitchen yang menyediakan sebanyak 60 buah gerai jualan untuk usahawan di Waterfront Kuching.
Dalam pada itu, Fathi memberitahu sambutan peringkat negeri anjuran Jawatankuasa Induk bakal berlangsung pada 22 Julai merangkumi perbarisan di Padang Merdeka, Penganugerahan Pingat Peringatan Sarawak Merdeka Ke-60 di Hotel Waterfront, dan jamuan negeri di Dewan Santapan, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak serta diakhiri dengan persembahan bunga api.
“Lebih menarik lagi, pada 29 Julai bakal berlangsung persembahan perarakan kapal berhias di Sungai Sarawak dan perarakan jalanan di sekitar bandaraya Kuching pada 5 Ogos nanti,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai untuk hadir memeriahkan sambutan Ulang Tahun Ke-60 Sarawak Merdeka di Bahagian Kuching nanti. -TVS


