Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Liana Sari Santud menceritakan masalahnya kerana tidak memiliki kad pengenalan menerusi video yang dimuat naik menerusi TikTok.

Liana boleh memohon taraf ‘Penduduk Sementara’ lanjutkan pengajian – Fatimah

ByLorenzo Isaac Ak Anthony

KUCHING, 7 Julai: Liana Sari Santud, seorang pelajar di Sibu yang ingin melanjutkan pengajian ke universiti, disyorkan memohon kad pengenalan hijau yang berstatus ‘Penduduk Sementara’ bagi membolehkannya menikmati pelbagai faedah seperti biasiswa dan pengecualian yuran ketika melanjutkan pengajian di universiti.

Syor itu dikemukakan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah setelah mengetahui Liana menyatakan beliau tidak mempunyai kad pengenalan dan ini menjejaskan peluang untuk memperolehi biasiswa atau pengecualian yuran ketika melanjutkan pengajian ijazah dalam bidang perakaunan pada September.

Menurut Fatimah, taraf penduduk sijil lahir Liana, 20, ialah ‘Belum Ditentukan’. Ini berikutan ibu kandung Liana Sari juga pemegang sijil lahir ‘Belum Ditentukan’ dan bapanya tiada dokumen pengenalan diri.

“Syor yang dapat diberikan ialah ibu kandung Liana Sari boleh hadir ke mana-mana Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk mengemukakan tuntutan kewarganegaraan jika ada pembuktian dokumen pengenalan ibu,bapa, adik-beradik, datuk atau nenek,” katanya menerusi kenyataan, semalam.

Fatimah juga berharap agar program Pasukan Petugas Khas (PPK) dapat menangani isu demikian.

Liana berkongsi masalahnya melalui TikToknya dan tular.

“Masuk sekolah rendah, saya hanya menggunakan sijil kelahiran saya dan bersyukur kerana dapat mendaftar, begitu juga dengan pendidikan sekolah menengah saya,” kata Liana.

Katanya lagi, ibunya telah memohon kad pengenalan pada April 2022, tetapi tiada keputusan sehingga kini.

“Kedua ibu bapa saya tidak mempunyai kad pengenalan biru (MyKad) kerana datuk nenek saya tidak mempunyai peluang untuk mendapatkan dokumen pengenalan semasa hayat mereka. Ini menjadikan mencabar bagi ibu bapa saya untuk mendapatkan dokumen pengenalan,” jelas Liana.

Daripada empat adik-beradiknya, hanya abang sulungnya yang diberikan taraf kewarganegaraan, tetapi masih belum memperoleh kad pengenalan.

Sewaktu beliau menjalani peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), beliau pernah ditanya oleh pengawas peperiksaan kenapa beliau menggunakan sijil kelahiran dan bukan kad pengenalan. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan