Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Tinjauan di Mertiz Hotel Miri, hari ini. Foto TVS

Industri perhotelan di Miri catat penurunan

ByTasha Jenkins Likan Anak Siti

MIRI, 4 Apr: Industri perhotelan di Sarawak kekal stabil sepanjang musim perayaan Hari Raya Aidilfitri tahun ini namun Miri mencatatkan penurunan kadar penginapan berbanding tahun sebelumnya.

Penganalisis Hasil Mercure Hotel Miri, Connie William berkata, trend penurunan sekitar 20 peratus di Miri itu dipercayai berpunca daripada pergerakan penduduk tempatan ke luar bandar untuk menyambut perayaan bersama keluarga.

“Ramai yang memilih untuk balik kampung atau bercuti di luar Miri sempena cuti panjang. Perbelanjaan mereka juga banyak dihabiskan di luar daerah,” katanya ketika ditemui TVS di Mercure Hotel, Miri, hari ini.

Menurutnya, hotel mencatatkan peningkatan tempahan bilik semasa sambutan Tahun Baru Cina meskipun sedikit terjejas akibat banjir di beberapa kawasan.

“Semasa Tahun Baru Cina, memang ada peningkatan penginapan, tetapi kesannya tidak sepenuhnya dirasai kerana ada juga kawasan yang dilanda banjir,” ujarnya.

Connie turut memaklumkan 60 hingga 70 peratus pelanggan hotel pada hari bekerja adalah pengunjung tempatan manakala kadar penginapan meningkat kepada 80 peratus pada hujung minggu didorong kehadiran pelancong dari Brunei Darussalam.

“Kebanyakan pelanggan kami terdiri daripada warga tempatan dan sebahagiannya dari Brunei, terutama pada hujung minggu,” jelasnya.

Sementara itu, Pengerusi Malaysian Association of Hotels (MAH) Cawangan Sarawak, John Teo berkata, beberapa bandar utama di Sarawak seperti Sibu dan Kuching mencatatkan kadar penginapan yang tinggi sempena Hari Raya Aidilftiri berbanding Miri dan Bintulu yang menunjukkan prestasi lebih sederhana.

“Di Sibu, hampir semua hotel penuh dengan kadar penginapan sekitar 95 peratus. Kuching pula sekitar 73 peratus, manakala Miri dan Bintulu masing-masing mencatat sekitar 60 dan 55 peratus,” kata Teo.

Menurutnya, peningkatan pelawat domestik turut dipacu oleh kepulangan anak Sarawak dari luar negara dan Semenanjung Malaysia bukan sahaja untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri tetapi juga perayaan Qingming yang jatuh dalam minggu sama.

Namun begitu, prestasi keseluruhan industri hotel di Sarawak bagi suku pertama tahun ini menunjukkan sedikit penurunan sekitar lima peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

“Kami percaya penurunan ini disebabkan oleh perbelanjaan besar yang dibuat semasa musim Krismas, Tahun Baharu dan Tahun Baharu Cina,” ujarnya.

Beliau menjangkakan industri akan kembali pulih mulai April apabila jabatan kerajaan dan sektor swasta kembali giat menganjurkan mesyuarat, seminar dan latihan. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan