KUCHING, 11 Nov: Pengusaha di Sarawak memanfaatkan bantuan dan geran yang disediakan Kerajaan Sarawak seperti Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) dan Skim Pinjaman Industri Kecil dan Sederhana (SPIKS).
Pengusaha Premis Makanan, Mastika Jamali berkata, Kerajaan Sarawak sangat membantu serta mengambil berat usahawan Sarawak sejak era pandemik COVID-19 lagi.
“Kerajaan Sarawak sangat prihatin dan sentiasa membantu dalam menaikkan semula perniagaan kami dan mendapatkan semula pulangan balik.
“Daripada bantuan yang telah disalurkan oleh kerajaan, kita boleh menyusun semula perniagaan kami dan bersiap-sedia untuk menghadapi suatu keadaan yang memerlukan kelangsungan hidup,” katanya ketika ditemui pada program bual bicara Malaysia Decides pada Khamis.
Beliau juga menambah bahawa golongan muda yang mahu menceburi bidang keusahawanan ini digesa merebut peluang yang disediakan kerajaan.
“Contohnya CENTEXS adalah satu langkah yang terbaik daripada Kerajaan Sarawak untuk membantu membangunkan perusahaan terutama golongan anak muda.
“Saya nampak kerajaan bersungguh-sungguh mahukan rakyatnya untuk menceburi bidang keusahawanan ini yang dapat membantu meningkat ekonomi mereka serta ekonomi negeri Sarawak,” ujarnya lagi. – TVS