LAWAS,11 Nov: Bekas Naib Presiden Parti Bumi Kenyalang (PBK), Peter Asut yang telah keluar parti pada awal Januari tahun ini menyatakan sokongan penuh kepada Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong untuk memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ini.
Sokongan itu diumumkan ketika Henry Sum mengunjungi Kampung Purusia, Trusan pada Rabu yang mana Peter telah berucap mewakili penduduk kampung sekali gus menyeru 325 pengundi di situ untuk memberi sokongan penuh kepada GPS.
“Saya juga menggesa masyarakat Lun Bawang di Lawas untuk mengundi calon GPS, Dato Henry Sum Agong pada PRU-15 ini.
Memandangkan beliau (Henry Sum) dipilih oleh pucuk pimpinan parti, saya percaya kepimpinan tertinggi telah meletakkan kepercayaan terhadap peluang Henry Sum untuk beliau dipilih dan mungkin memegang jawatan menteri dalam Kerajaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Peluang untuk Henry Sum menjadi menteri tinggi katanya, sekiranya GPS memberi sokongan yang membantu membentuk Kerajaan Persekutuan pada 20 November ini.
“Ini adalah satu petanda baik untuk rakyat Sarawak. Jika kita lihat pada keputusan PRN-12 lalu, kita sedar rakyat Sarawak bijak, memilih gabungan yang kuat itu.
Saya menyokong GPS sepenuhnya kerana melihat kepentingan perpaduan untuk Sarawak terus maju,” jelasnya.
Peter membuat kesimpulan, demi melindungi kepentingan rakyat, perpaduan hanya dapat diperkukuh sekiranya Sarawak bersatu dan tidak berpecah-belah menentang satu sama yang lain. -TVS