TAWAU, 6 Jun: Polis menahan tiga individu termasuk seorang wanita dipercayai terlibat dalam aktiviti samseng jalanan dalam satu operasi di Jalan Chong Thien Vun di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Husin dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini berkata, kesemua mereka yang berumur 16 sehingga 25 tahun itu ditahan oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT).
Kesemua mereka dikesan melakukan aksi berbahaya menguji kelajuan motosikal untuk bersaing sesama sendiri dengan memecut dalam kelajuan tinggi dan melakukan aksi ‘superman’.

“Perbuatan mereka boleh mengundang kemalangan, selain membahayakan diri dan keselamatan pengguna jalan raya yang lain,” katanya.
Kesemua yang ditahan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau dengan dua daripadanya disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 sementara seorang lagi disiasat mengikut Seksyen 81(3) akta yang sama.
Jasmin berkata, dalam operasi sama, pihaknya turut mengeluarkan tujuh saman kepada pengguna jalan raya atas pelbagai kesalahan.
“Antara kesalahan dikesan adalah membawa kenderaan di bawah umur, tiada perlindungan insurans, memberi kebenaran memandu tanpa lesen dan lain-lain kesalahan kepada pemandu kenderaan,” katanya. – TVS



