KUALA LUMPUR, 9 Sept : Operasi Venture yang dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman di Johor pada Selasa lepas berjaya memberkas seorang ‘ahlong’ muda berusia 15 tahun yang dipercayai terlibat dalam kegiatan mengugut mangsa yang gagal membayar pinjaman.
Pengarahnya, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, suspek berkenaan merupakan antara 14 individu termasuk tiga wanita yang ditahan dalam operasi membabitkan beberapa daerah termasuk Johor Bahru Utara, Johor Bahru Selatan dan Iskandar Puteri.
” Mereka yang ditahan terdiri daripada dua kumpulan dikenali sebagai Ah Han dan Ah Sing yang menyasarkan rakyat tempatan sebagai mangsa. Kegiatan dua kumpulan ini dipercayai telah bermula sejak 2019,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Menurut Mohd Kamarudin, dua sindiket berkenaan didapati mengiklankan perkhidmatan mereka menerusi media sosial termasuk Facebook, aplikasi WhatApps dan WeChat dengan menawarkan faedah antara 10 hingga 15 peratus bagi tempoh seminggu.
” Apabila peminjam gagal melunaskan bayaran, ahli sindiket ini akan mengunjungi rumah serta tempat kerja mangsa dan melakukan pelbagai ugutan. Seterusnya, mereka juga akan menawarkan pinjaman baharu untuk melangsaikan hutang lama yang akan menyebabkan peminjam menanggung faedah yang lebih tinggi,” katanya.
Beliau memberitahu, dalam operasi yang bermula pada pukul 11.30 malam itu, pihaknya turut merampas lapan buah kenderaan mewah, wang tunai berjumlah RM339 870, 67 kad pelbagai bank, enam sijil pemilikan kenderaan dan buku yang mengandungi senarai nombor telefon pelanggan.
Katanya, kes disiasat mengikut pelbagai peruntukan undang – undang antaranya Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Seksyen 4(1) Akta Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan (AMLATPUAA 2011) dan Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (Akta 400). -TVS