KUALA LUMPUR, 9 Sept : Operasi Benteng yang dilaksanakan kerajaan pada tahun lalu sehingga kini telah berjaya menahan seramai 15,745 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang cuba memasuki negara ini menerusi pelbagai saluran.
Menteri Kanan Pertahanan , Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pada masa sama, seramai 2,232 PATI telah diusir sejak Mei 2020 hingga 7 September lalu.
Katanya, operasi bersepadu berkenaan turut membuat tangkapan terhadap 1,148 tekong dan 781 penyeludup yang menjadi dalang kepada kegiatan jenayah rentas sempadan berkenaan.
” Selari dengan matlamat utama perlaksanaan Operasi Benteng, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan terus berusaha sedaya upaya dan mengekalkan kerjasama rapat dengan 19 agensi lain bagi mengawal ketat sempadan negara daripada dibolosi PATI.
“Langkah ini dilaksanakan kerana kerajaan mahu mengekang penularan wabak COVID-19 yang mungkin dibawa oleh PATI berkenaan,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Beliau turut memberitahu, sepanjang operasi berkenaan, sebanyak 2,381 buah kenderaan darat dan 540 bot dan kapal turut dirampas.
Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, kejayaan berkenaan merupakan hasil kerjasama erat ATM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta pelbagai agensi lain- TVS