JAKARTA, 6 Jun: Bertempat di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, hampir 400 rakyat Malaysia berhimpun bagi menyambut Hari Raya Aidiladha dengan penuh kesyukuran dan semangat kebersamaan.
Sambutan dimulakan seawal jam 7 pagi dengan solat sunat Aidiladha yang diimamkan oleh Atase Agama, Ustaz Shamsuri Ghazali.
Majlis kemudian diteruskan dengan ibadah korban melibatkan penyembelihan tiga ekor lembu dan 16 ekor biri-biri yang merupakan sumbangan daripada rakyat Malaysia yang menetap di Jakarta.
Menurut Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Syed Md Hasrin Tengku Hussin, agihan daging korban ini bertujuan memupuk semangat silaturahim dalam kalangan diaspora Malaysia serta mempererat hubungan dengan komuniti setempat.
“Semoga majlis ibadah korban ini dapat merapatkan lagi ukhuwah, bukan sahaja antara sesama rakyat Malaysia, tetapi juga antara kedutaan dengan rakyat tempatan,” katanya.
Beliau turut berkata, agihan hasil ibadah korban ini membuktikan kewujudan diaspora Malaysia yang memberi manfaat kepada masyarakat sekeliling dan berharap program tahunan ini dapat diteruskan pada masa akan datang.
Sebanyak 411 bungkusan daging korban telah diagihkan kepada penduduk sekitar kawasan berhampiran ibu pejabat Kedutaan Malaysia di Kuningan, Jakarta Selatan, termasuk beberapa masjid kecil di kawasan tersebut. – TVS


