KUCHING, 6 Jun: Seorang wanita tempatan berusia lingkungan 50-an kerugian lebih RM110,000 selepas terpedaya dengan sindiket pelaburan tidak wujud yang beroperasi melalui aplikasi Instagram dan WhatsApp.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato Mancha Ata berkata, mangsa yang merupakan kakitangan swasta di Miri pada mulanya tertarik dengan iklan membaca bahan bacaan percuma di Instagram sekitar pertengahan April lalu.
“Selepas menekan pautan iklan tersebut, mangsa dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp dikenali sebagai ‘Popular Books 90’,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa kemudiannya dihubungi seorang individu dari kumpulan itu yang memujuknya menyertai pelaburan menjanjikan pulangan tinggi dalam tempoh singkat.
Tertarik dengan tawaran tersebut, mangsa menghubungi pentadbir kumpulan dan semua urusan pelaburan dijalankan menerusi WhatsApp.
“Mangsa telah membuat beberapa transaksi secara berperingkat ke akaun bank yang diberikan suspek dengan jumlah keseluruhan mencecah RM110,000,” ujarnya.
Mancha berkata, mangsa hanya menyedari dirinya ditipu apabila tidak menerima sebarang keuntungan seperti dijanjikan sehingga laporan polis dibuat baru-baru ini.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah percaya dengan pelaburan yang ditawarkan di media sosial dan seterusnya membuat penyelidikan dahulu terhadap individu ataupun syarikat yang menawarkan pelaburan tersebut,” katanya.



