KAJANG, 6 Jun: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan bahawa beliau telah menghubungi rakan sejawatnya dari Thailand, Paetongtarn Shinawatra hari ini untuk berbincang mengenai isu pertikaian sempadan antara Thailand dan Kemboja yang dilaporkan semakin tegang sejak kebelakangan ini.
Menurut Anwar, Malaysia mengambil maklum mengenai situasi antara kedua-dua negara itu yang dilaporkan telah mengorbankan seorang tentera.
“Nanti, kita akan mengeluarkan kenyataan (berkaitan perbincangan dengan Paetongtarn),“ katanya ketika ditemui pemberita di Surau Al-Ikhwan, Desa Pinggiran Putra, di sini hari ini.
Minggu lalu, pasukan tentera Thailand dan Kemboja dilaporkan saling berbalas tembakan dalam pertempuran di wilayah timur laut Ubon Ratchathani, Thailand, dan wilayah utara Preah Vihear, Kemboja.
Menurut laporan media, seorang askar Kemboja dilaporkan maut dalam kejadian itu.
Pada Isnin, Kemboja menyuarakan hasrat untuk membawa pertikaian sempadan ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) bagi menyelesaikan isu berlarutan itu.- TVS


