KUALA LUMPUR, 9 Sept : Lima wanita warga asing yang menjadikan sebuah hotel di Jalan Pudu Ulu, di sini sebagai markas aktiviti persundalan mereka akhirnya diberkas polis dalam operasi petang semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Saiful Annuar Yusoff berkata, dalam operasi kira -kira pukul 4.45 petang yang dijalankan oleh Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) itu, kumpulan wanita berkenaan yang berumur dalam lingkungan 25 hingga 40 tahun itu turut dikesan melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen.
Ujarnya, turut ditahan ialah tiga lelaki tempatan dalam lingkungan umur 20 hingga 36 tahun yang dipercayai melanggan khidmat pelacuran ditawarkan kumpulan wanita berkenaan.
Katanya, polis turut merampas wang tunai berjumlah RM1,070, lima helai tuala, 13 keping kondom, lima keping kad akses dan tiga botol minyak pelincir.
” Polis Kuala Lumpur memberi amaran keras agar orang ramai tidak terlibat dengan apa-apa kegiatan pelacuran kerana tindakan tegas akan diambil terhadap penganjur, pemilik premis, pekerja atau pelanggan dalam usaha memerangi kegiatan pelacuran secara total di ibu negara,” katanya.
Beliau memberitahu, kesemua mereka akan direman pada hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 372 B Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63. -TVS