CYBERJAYA, 10 Mac: Tindakan segelintir pihak yang mencetuskan isu sensitif dibimbangi akan mengundang tindak balas yang boleh menggugat keharmonian negara.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, beliau dan kementerian diterajui juga berasa dukacita dengan perkembangan itu kebelakangan ini.
Jelas beliau, tindakan sedemikian juga tidak membawa sebarang kebaikan kepada perpaduan negara yang sekian lama dipupuk.
“ Di Kementerian Perpaduan Negara (KPN), kita lihat perkara ini amat serius namun sebagai kita (sebenarnya) sebagai kementerian (berperanan) mengadakan ekosistem perpaduan serta platform perpaduan untuk rakyat berintegrasi,
(namun) kalau lebih daripada itu (untuk mengambil tindakan), kita tidak ada akta,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir Majlis Apresiasi Harmoni KPN di sini hari ini.
Turut hadir Timbalannya, K. Saraswathy serta kira – kira 500 tetamu termasuk Ahli MEX Unity, Ahli Majlis Perundingan Perpaduan Negara (MPPN), Ahli Jawatakuasa Harmoni, Ahli Majlis Consultive Council Of Buddhism, Christianity, Hinduism, Sikhism,Taosim, Friend Of Unity dan rakan strategik KPN.
Beberapa agensi media antaranya TV Sarawak (TVS), Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Astro Awani turut diberi penghargaan kerana membantu mempromosikan aspek perpaduan di Malaysia.
Terdahulu ketika berucap pada majlis itu, Aaron Ago memaklumkan Sambutan Minggu Perpaduan akan bermula pada April depan di Melaka sebelum diteruskan ke setiap negeri dan wilayah.
“ Sambutan peringkat kebangsaan pula akan dilaksanakan di Pulau Pinang pada Julai,” katanya. – TVS.