SIBU, 2 Feb: Kerajaan mencadangkan peruntukan sebanyak RM2.5 juta untuk menaik taraf Jalan Ling Kai Cheng di Sibu, demikian menurut Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang Ming Tee.
Katanya, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersetuju memasukkan projek ini di bawah projek baik pulih bencana.
“Naik taraf jalan ini di bawah peruntukan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA). Saya bersyukur kerana Abang Johari juga akan memasukkan projek ini dalam projek baik pulih selepas bencana.
“Menurut beliau (Abang Johari) Sarawak memperuntukkan RM10 juta tambahan dalam tabung bencana manakala Kerajaan Persekutuan akan memperuntukkan RM12 juta untuk tabung itu.
“Ini menjadikan jumlah kesemua peruntukan dalam Tabung Bencana Sarawak iaitu RM22 juta,” katanya.
Jelasnya, daripada RM22 juta tersebut, RM2.5 juta akan diperuntukkan untuk projek naik taraf Jalan Ling Kai Cheng yang meliputi kerja meninggikan lagi jalan yang meliputi 780 meter.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menerima kunjungan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari ke Rumah Terbuka Sambutan Tahun Baharu Cina di kediamannya di sini, hari ini.
Menurut Tiang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan, jalan ini tidak dapat dilalui sejak beberapa hari yang lepas akibat banjir .
Jalan ini merupakan jalan utama yang menghubungkan beberapa kawasan di tiga DUN iaitu Bawang Assan, Nangka dan Pelawan.
“Jalan tersebut sangat penting kerana ia jalan utama untuk penduduk seperti di Sungai Merah dan Sungai Biduk. Sekurang-kurangnya 7,000 penduduk terjejas akibat jalan tersebut tidak dapat dilalui.
“Kita akan menaik taraf kawasan tersebut yang terjejas akibat banjir secepat mungkin supaya dapat mengelakkan insiden yang tidak diingini semasa banjir selain memastikan pergerakan aliran trafik berjalan lancar,” katanya.
Ujarnya, kunjungan Abang Johari ke rumahnya bukan semata-mata meraikan perayaan Tahun Baharu Cina tetapi juga menjadi platform untuknya memaklumkan perkembangan terkini di Sibu, isu tempatan dan situasi semasa terutamanya musim banjir ini.- TVS



