SEPANG, 2 Feb: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) akan memberi keutamaan kepada kawalan sempadan pintu masuk udara di Lapangan Terbang Antarabangsa di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Kota Kinabalu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata perkara itu adalah berdasarkan perancangan awal daripada perbincangan bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
“Kecenderungan kami kalau di pintu masuk udara adalah Lapangan Terbang Antarabangsa yang paling sibuk dahulu, selain di sini adalah Pulau Pinang diikuti Kota Kinabalu.
“Walaupun Timbalan Perdana Menteri dari Sarawak, tetapi beliau minta saya mengutamakan Kota Kinabalu,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Peluncuran Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata keutamaan pengoperasian akan ditentukan berdasarkan daripada data yang diperoleh dan dikumpul dari setiap kawasan memandangkan isu yang berlaku di setiap sempadan adalah berbeza.
Sehubungan itu, katanya AKPS akan beroperasi di 19 daripada 141 pintu masuk menerusi komponen jalan masuk laut, darat dan pintu masuk udara sebagai permulaan.
“Data yang kita kumpulkan nanti akan memandu kita. Fasa berikutnya beroperasi di mana. Kalau kita mulakan di Durian Burung (antara Padang Terap dengan kawasan di Siam), barangkali cuma ada 2,000 orang sahaja satu hari. Tidak mungkin kita letakkan seluruh asset di situ. Jadi kita akan atur keutamaan,” katanya.
Sementara itu, Saifuddin berkata AKPS juga dijangka memiliki sehingga 12,000 perjawatan sekiranya telah mula beroperasi secara penuh.
Jelasnya ketika ini, seramai 6,000 perjawatan diserap dari agensi-agensi pengawalan sempadan seperti Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia serta Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS). – TVS



