KUCHING, 11 Nov: Simposium Pertubuhan Pendidikan Sains dan Teknologi Antarabangsa (IOSTE) 2024 edisi ke-21 anjuran Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Sarawak diharap dapat merungkai permasalahan dan menghasilkan penemuan kajian yang membantu menambahbaik spektrum bidang pendidikan sains dan teknologi dalam memperkasakan keadilan sosial serta kelestarian yang memberi manfaat kepada warga sejagat.
Pemangku Rektor UiTM Cawangan Sarawak, Profesor Madya Ts. ChM. Dr. Mohammad Isa Mohamadin berkata, perkembangan bidang pendidikan sains dan teknologi ini perlu berkembang dan bergerak seiring dengan aspek kelestarian dan keadilan sosial terutama dalam mendepani isu-isu berkaitan teknologi serta kemanusiaan pada masa kini serta mendatang.
“Terdapat keperluan mendesak bagi pakar serta ahli akademik dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) untuk bekerjasama dan mencari penyelesaian inovatif dalam pelbagai isu yang berkaitan dengan alam sekitar serta iklim, selain keterjaminan makanan bagi memastikan kehidupan yang lebih baik buat generasi kini dan masa hadapan.
“Tema Pendidikan Sains dan Teknologi untuk Kelestarian dan Keadilan Sosial amat bertepatan dalam menggambarkan senario kehidupan pada hari ini dan menjadi inspirasi untuk kita terus bergerak ke hadapan. Tema ini turut menggariskan keperluan penting dalam merapatkan jurang, memperkukuhkan kerjasama dan memastikan pendidikan ini kekal relevan, mudah diakses dan sentiasa ke hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan beliau yang dibacakan oleh Timbalan Rektor (Penyelidikan dan Jaringan Industri) UiTM Cawangan Sarawak, Profesor Ir. Dr. Juferi Idris pada majlis perasmian Simposium Pertubuhan Pendidikan Sains dan Teknologi Antarabangsa (IOSTE) 2024 edisi ke-21 di Kuching pada Isnin.
Simposium ini merupakan anjuran UiTM Cawangan Sarawak bersama IOSTE, Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) Sarawak, Institut Pendidikan Guru (IPG) Malaysia, IPG Kampus Batu Lintang dan Kampus Tun Abdul Razak serta Design Association Sarawak (IDEAS).
Terdapat lebih 30 kertas kerja yang dibentangkan pada simposium kali ini dan antara intipatinya termasuklah topik-topik berkaitan cabaran serta pemerkasaan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di sekolah-sekolah luar bandar serta penggunaan aplikasi ChatGPT dari sudut kelebihan serta permasalahannya dalam konteks pendidikan.
Forum yang akan berlangsung bermula hari ini sehingga 15 November ini menghimpunkan seramai lebih 200 peserta yang terdiri daripada ahli akademik dan pendidik, para penyelidik, pemain industri, serta siswa-siswi institusi pengajian tinggi awam serta swasta dari dalam dan luar negara.-TVS



