KOTA SAMARAHAN, 10 Okt: Seorang wanita cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan berhampiran Kem Skuadron 330 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Jalan Lingkaran Luar Bandar di sini, petang tadi.
Komander Operasi, Ahmad Shah berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes itu jam 4.39 petang sejurus itu menggerakkan tujuh anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Samarahan ke lokasi kejadian.
“Kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan iaitu lori kontena, lori panjang dan kereta Proton Saga.
“Terdapat seorang mangsa wanita berusia 27 tahun telah tersepit dan mengalami kecederaan telah berjaya di keluarkan oleh pasukan bomba,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, mangsa diberi rawatan awal oleh anggota Unit EMRS Kota Samarahan dan seterusnya menghantar mangsa ke Hospital Pusat Jantung untuk tindakan selanjutnya.
“Kerja – kerja membersihkan sisa-sisa kemalangan turut dijalankan sehingga selesai bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya yang lain,” ujarnya.-TVS



