MIRI, 10 Okt: Mendominasi pekerjaan kaum adam, pakar menuai Sarawak Plantation Berhad (SPB), Amirah Rahimah kelihatan tangkas mengendalikan mesin penuai yang digelar sebagai ‘lipan’.
Amirah, 22, berkata faktor jantina bukan penghalang untuknya meneruskan minat dalam bidang pertanian hingga ia menjadi punca rezeki gadis itu.
“Kenapa saya memilih kerjaya ini? Ini kerana jarang kita jumpa perempuan yang mengendalikan mesin tersebut dan saya rasa saya mahu jadi yang pertama untuk mengendalikan Lipan (mesin penuai).
“Tambahan pula peluang tersebut baru dibuka pada masa ini untuk semua mereka yang mempunyai kelayakan dalam bidang kejuruteraan. Saya memiliki Diploma Kejuruteraan dengan Expert Craftsman, jadi saya memenuhi syarat tersebut. Ia sesuai dengan sesiapa sahaja yang mempunyai kelayakan dan berminat untuk mengendalikan mesin,” katanya ketika ditemui di Ladang Subis, SPAD di sini pada Rabu.
Amirah yang sememangnya minat dalam pengendalian mesin berkata, untuk mempelajari bagaimana mengendalikan Lipan adalah mudah dan dia hanya mengambil masa dalam dua minggu untuk menguasainya.
Tambah Amirah, mereka perlu melalui ujian dan latihan insentif terlebih dahulu sebelum diberi kebenaran untuk mengendalikannya sendiri.
Lipan adalah mesin pertama kendaliannya di ladang sawit.

“Tidak susah untuk dikendalikan. Ia ibarat anda sedang bermain konsol permainan video.
“Pekerjaan ini sangat disyorkan untuk semua terutama sekali perempuan. Kami (SPB) pada ketika tengah mencari pekerja perempuan untuk mengendali mesin ini. Jika saya boleh bawa, orang lain pun boleh,” ujarnya lagi.
Bagi aspek keselamatan pula, Amirah berkata memandangkan ia dikendali menggunakan alat kawalan jauh jadi adalah disarankan untuk berdiri jauh dari pokok kelapa sawit sekurang-kurang dalam jarak lima (5) meter.
Katanya lagi, alat kawalan jauh yang digunakan mampu mengendalikan mesin sejauh 10 meter.
Sebuah mesin penuai dapat digunakan untuk menuai buah kelapa sawit di keluasan lima hektar ladang dalam masa sehari.
Lipan dirasmikan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Ladang Subis, SPAD di sini semalam. – TVS

