KUCHING, 10 Okt: Pengurusan sisa makanan dengan lebih terurus mendorong kepada perubahan positif dalam kalangan pemegang taruh dan rakan kongsi sebagai usaha mengurang dan mengitar semula sisa makanan di wilayah ini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, inisiatif pengurusan sisa makanan yang dilaksanakan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dikenali sebagai ‘Worming Up’ bersama lapan rakan strategiknya dalam pengurusan sisa makanan wajar dijadikan contoh oleh masyarakat serta organisasi di luar kerana ia turut selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 12: Penggunaan dan Pengeluaran yang Bertanggungjawab.
Tambah Dr. Sim, ‘Worming Up’ yang diterajui oleh Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Fly Technology Agriculture (FTA) Sendirian Berhad, Ts. Jeff Wee Hung Yee, merupakan inisiatif yang amat baik dalam pengurusan sisa makanan yang turut menjadi sebahahagian daripada genda pembangunan negeri seperti yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 Sarawak.
“Kita mahu lebih maju dari sudut ekonomi. Ertinya kemajuan ekonomi di mana kita menjadikan sisa-sisa ini sebagai elemen yang mempunyai nilai tambah, dan jangan hanya mengambil jalan mudah untuk melupuskannya sahaja. Jadikan sisa-sisa ini sebagai punca sumber tenaga baharu, baja serta jadikan ia sebagai sebahagian daripada ekonomi kitaran yang dapat menjana pendapatan,” katanya pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Fly Technology Agriculture Sendirian Berhad bersama tujuh rakan strategik di Kuching pada Khamis.
Pada masa yang sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Dato Ir. Lo Khere Chiang pula menyifatkan kerjasama antara ‘Worming Up’ bersama rakan strategik yang lain akan menggalakkan pertukaran bukan sahaja idea malah perkongsian teknologi dalam bukan sahaja pengurusan sisa makanan malah usaha ini akan turut memastikan keterjaminan makanan di Sarawak dan seterusnya peringkat global.
“Pada masa kini, kesedaran mengenai Matlamat Pembangunan Mampan, prinsip alam sekitar sosial dan tadbir urus (ESG) dan ekonomi hijau semakin meningkat, dan saya begitu berbesar hati melihat inisiatif serta penglibatan oleh begitu banyak syarikat serta industri dalam mendepani isu berkaitan kelestarian alam sekitar ini.
“Perjanjian ini melambangkan satu komitmen yang diadakan bagi memangkin sekaligus menggalakkan perkembangan inovasi dan kelestarian merentas pelbagai industri,” ujarnya lagi.
Pada majlis menandatangani memorandum persefahaman ini, ‘Worming Up’ berkolaborasi bersama rakan-rakan strategik dalam pelbagai aspek antaranya termasuklah pengurusan sisa buangan industri dan ekonomi kitaran, keterjaminan makanan serta inisiatif kelestarian pemakanan dan kolaborasi pengurusan sisa organik.
Antara tujuh rakan strategik yang terlibat dalam inisiatif bersama ‘Worming Up’ termasuklah Masranti Plantation Sdn. Bhd., Siang Heng (Sarawak) Sdn. Bhd., Hotel Hilton Kuching, Bioloop Sdn. Bhd., Formeta PLT, Harbin Venturecy Cultural Development Co. Ltd. (China) dan Monster Biotech (Taiwan). -TVS


