KUCHING, 10 Oktober: Majlis Adat Istiadat Sarawak (MAIS) akan distrukturkan semula bagi memastikan kecekapan bagi memberikan perkhidmatan berbentuk penerangan, kefahaman dan perlindungan adat terutama kepada penduduk asal Bumiputera di Sarawak.
Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai berkata, sejak penubuhan organisasi tersebut pada tahun 1974, MAIS memainkan peranan penting dalam memastikan adat penduduk asal di negeri ini terpelihara dan diwartakan.
Menurutnya, bersempena ulang tahun ke-50 MAIS, penstrukturan semula organisasi tersebut dilihat perlu termasuk berkaitan bidang penyelidikan undang-undang, penyelidikan dan program pembangunan kapasiti kepada kepada Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK).
“Saya mengambil maklum akan cabaran dan kekangan yang dihadapi oleh MAIS dalam perlaksanaan aktiviti penyelidikan dan operasi pentadbirannya
“Justeru, saya menyokong penuh agar usaha penstrukturan semula organisasi MAIS dapat dilaksanakan sejajar dengan keperluan mendesak ke arah pemantapan organisasi
“Saya juga menyokong usaha MAIS untuk meneruskan program pembangunan kapasiti kepada KMKK untuk meningkatkan kefahaman dan kemahiran berkaitan dengan adat,” katanya.
John Sikie berkata demikian dalam ucapan perasmiannya pada program Majlis Adat Istiadat Bersama Pemegang Taruh 2024 sempena ulang tahun ke-50 MAIS di sini, hari ini.
Antara perubahan yang akan dilakukan bermula tahun ini adalah mewujudkan dan melaksanakan SCS Scorecard yang berfungsi sebagai pengukur prestasi organisasi, sokongan kepada kakitangan untuk menghadiri kursus jangka pendek atau sederhana di institusi dalam dan luar negara berkaitan undang-undang dan mengenal pasti bidang dan keperluan baharu dalam usaha mengembangkan peranan dan fungsi MAIS.
Selain itu katanya, MAIS turut mengkaji semula tujuh buku adat yang dihasilkan bagi memastikan kandungan terkini dan relevan dengan keperluan dunia termasuk adat berkaitan kekeluargaan, pemilikan tanah dan penempatan.
Hadir sama Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputera), Datuk Jefferson Jamit Unyat dan Ketua Majlis Adat Istiadat Sarawak, Datu Ronnie Edward. -TVS



