KUCHING, 9 Sept: Pemimpin dan rakyat Sarawak perlu menghayati dan meneladani ketokohan negarawan Tun Datuk Patinggi Temenggong Jugah Barieng atau lebih dikenali sebagai Tun Jugah yang merealisasikan penubuhan Malaysia dan membangunkan ekonomi negara.
Sehubungan itu, Menteri Perpaduan Negara, Dato Sri Aaron Ago Dagang menyifatkan Tun Jugah sebagai tokoh negarawan dan figura utama dalam kemakmuran Malaysia.
Menurutnya, jasa dan pengorbanan tokoh negarawan itu perlu dihayati dan menjadi teladan kepada setiap rakyat khususnya pemimpin di wilayah ini.
“Saya menzahirkan setinggi harapan agar jasa dan pengorbanan Tun Jugah bukan sahaja menjadi sumber inspirasi dan teladan seluruh rakyat Malaysia khususnya warga Sarawak.
“Malah ia patut juga dicontohi oleh pemimpin masyarakat dan politik demi kemakmuran negara Malaysia tercinta,” katanya ketika berucap semasa Program Mengenang Negarawan Tun Datuk Patinggi Temenggong Jugah anak Barieng ‘Negarawan Terbilang’ di Yayasan Kebudayaan Dayak di sini, hari ini.
Sehubungan itu, Aaron Ago berkata, usaha dan kegigihan Tun Jugah dapat dibuktikan melalui impiannya dalam merealisasikan pembentukan Malaysia dan membentuk perpaduan dalam kalangan masyarakat Malaysia yang berbilang agama dan bangsa.
“Pada 15 Februari 1962, beliau (Tun Jugah) berjaya mengumpulkan 51 ketua kaum Iban dan penghulu di Kapit untuk mendapat persetujuan mereka menyertai Tanah Melayu, Sabah dan Singapura dalam membentuk Malaysia.
“Tidak hairanlah beliau yang digelar ‘Apai’ dipandang tinggi sehingga diangkat menjadi wira agung yang menyatukan masyarakat Bumiputera di Sarawak sekali gus menjadi antara individu penting yang mencorakkan masa depan Sarawak pada hari ini,” ujarnya lagi.
Program Mengenang Negarawan merupakan salah satu program penanda aras bagi Arkib Negara Malaysia dalam pengisian program sempena Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia bagi tahun 2024.
Bersesuaian dengan tema ‘Negarawan Terbilang’, penganjuran progam ini selaras dalam usaha memperluaskan maklumat sejarah dan legasi ketokohan Tun Datuk Patinggi Temenggong Jugah Barieng.
Selain itu, program ini turut diserikan lagi dengan Sesi Bicara Negarawan dan pameran eksklusif yang bertemakan ‘Negarawan Terbilang’. – TVS



