KUCHING, 30 Ogos: Sambutan Hari Kebangsaan 2024 adalah platform yang tepat bagi semua rakyat Malaysia mengukuhkan integrasi dan nilai kebersamaan, kata Menteri Perpaduan Negara Dato Sri Aaron Ago Dagang.
Menjelaskan tema sambutan tahun ini – ‘Malaysia Madani: Jiwa Merdeka’ – beliau berkata ‘Malaysia MADANI’ adalah tunjang kemakmuran dan kemajuan negara melalui dukungan enam nilai teras utama.
Menurutnya, ‘Jiwa Merdeka’ pula menzahirkan kebebasan rakyat daripada sebarang elemen negatif dalam menginterpretasikan semangat patriotik melalui aspek pemikiran, integrasi sosial dan ekonomi seterusnya membentuk kesatuan rakyat yang kukuh, harmoni serta progresif.
“Semenjak Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan 67 tahun yang lalu, kita telah menerima bahawa kemajmukan dan kepelbagaian yang wujud sebagai kekuatan utama negara.
“Pada usia negara 67 tahun ini, kita sebagai rakyat Malaysia harus mengutamakan konsep ‘Faham, Hormat dan Terima’,” katanya menerusi teks perutusan sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2024.
Beliau menegaskan konsep ini perlu dihayati oleh setiap lapisan masyarakat di setiap peringkat. Pemahaman adalah kunci pada suatu penerimaan yang akan menepis segala kegusaran tersebut.
“Kita harus menerima bahawa perbezaan yang dimiliki adalah suatu kepelbagaian dan anugerah istimewa kepada kita,” katanya.
Tegas beliau lagi, adalah menjadi kemestian bagi setiap rakyat memahami budaya, adat resam, agama dan cara hidup setiap kaum yang ada di negara ini.
“Apabila kita saling memahami, maka ruang untuk saling menerima dan menghormati akan terbuka lebih luas serta jurang perbezaan antara kaum dapat dikurangkan.
“Secara tidak langsung, tentunya ini dapat memupuk semangat kesatuan dalam masyarakat,” katanya.