KOTA SAMARAHAN, 2 Feb: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah tidak pernah mengeluarkan arahan kepada Tabika dan Taska Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) mengadakan majlis konvokesyen di hotel, kata Timbalan Menterinya, Datuk Rubiah Wang.
Menurut Rubiah, Kemas bagaimanapun turut menggariskan panduan agar majlis berkenaan diadakan dalam nada sederhana dan membebankan ibu bapa serta dilokasi berhampiran mereka.
“Tiada arahan tapi pihak pengurusan tabika kita mempunyai niat yang baik sebab mereka hanya mahu beri pengiktirafan kepada pelajar-pelajar dengan mengadakan konvokesyen ditempat yang menarik.
“Namun begitu kita ambil maklum perkara ini, ini satu perkara yang kita perlu ambil perhatian dan kita dengar,” katanya.
Rubiah berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung trend tabika dan taska mengadakan majlis konvokesyen di hotel yang memperuntukkan ibu bapa mengeluarkan perbelanjaan yang besar seperti tular dalam media sosial baru-baru ini pada sidang media selepas Majlis Perasmian Karnival Mini Usahawan Desa di sini pada Jumaat. – TVS



