TAPAH, 2 Feb: Polis sedang menggiatkan usaha mengesan pendatang tanpa izin yang melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Bidor di sini dengan menumpukan pencarian dalam radius kawasan sekitar depot berkenaan.
Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata pihaknya percaya tahanan berusia antara 17 hingga 35 tahun itu masih berada di kawasan sekitar berikutan mereka lari dalam keadaan sehelai sepinggang tanpa membawa wang, keperluan diri dan makanan.
“Kami percaya dalam keadaan mereka itu dengan penglibatan pelbagai agensi, kami akan dapat menahan mereka semula dan perkembangan mengenai maklumat tangkapan akan diberikan,” katanya ketika ditemui pemberita di luar depot itu hari ini.
Beliau berkata operasi pencarian disertai Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak, Jabatan Imigresen dan bantuan dari Pasukan Gerakan Udara Bukit Aman.
Menurutnya pemeriksaan ketat turut dilaksanakan menerusi sekatan jalan yang didirikan di kawasan sekitar Tapah dan daerah berhampiran iaitu Kampar serta Muallim.



