KOTA SAMARAHAN, 2 Feb: Usahawan desa di Sarawak kini berpeluang untuk memasarkan produk mereka di pasar raya di seluruh negara dengan mudah serta tiada had kuantiti minimum.
Pengurus Kategori Mydin Mohamed Holdings Berhad, Meor Adzizi Sagiruddin berkata pihaknya terbuka dan sentiasa menyokong kempen ‘Beli Barangan Buatan Malaysia’ yang diperkenal oleh kerajaan.

“Hanya tiga perkara asas yang perlu dipatuhi oleh Industri Kecil dan Sederhana (IKS) iaitu memiliki sijil halal, kod bar pada produk dan pelabelan yang disahkan.
“Jika tiga syarat ini dipenuhi, produk itu mampu untuk dipasarkan oleh pasar raya bukan sahaja di Sarawak, juga di Semenanjung,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Mini Karnival Usahawan Desa (KUD) Kota Samarahan 2024, di sini hari ini.
Menurutnya lagi, Perusahaan Kecil, Mikro dan Sederhana (PMKS) juga berpeluang memperkenalkan produk mereka kepada pihaknya pada Sesi Padanan Perniagaan yang berlangsung 2 hingga 3 Februari di mini karnival itu.
Dalam pada itu, beliau berkata beberapa jenama Bumi Kenyalang berjaya menembusi dan memenuhi permintaan pasaran di Semenanjung Malaysia.
“Terdapat banyak permata tersorok. Apabila kami berjaya jumpa dan pasarkan, terbukti mampu berdaya saing dengan produk luar seperti jenama Nang Ori dan PAWADA,” katanya. -TVS



