SIBU, 22 Dis: Taman riadah baharu iaitu Taman Cergas Bandong bakal dibangunkan di sekitar Jalan Bandong di sini, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka Datuk Dr Annuar Rapaee.
Kemudahan itu menurut Annuar akan dibina dengan kos berjumlah RM300,000 meskipun pembinaannnya masih memerlukan dana tambahan untuk melengkapkannya.
“Kawasan ini sebenarnya dulu tempat buang sampah secara haram di sini tapi saya telah dimaklumkan oleh pihak Majlis Perbandaran Sibu (MPS) untuk membina taman kecergasan di sini supaya ada tempat untuk masyarakat bersenam pada waktu pagi atau petang.
“Mereka (MPS) telah melakukan kerja baik pulih kawasan ini dengan begitu baik sekali dan saya harap penduduk menggunakan kemudahan ini dengan baik,” katanya.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak  iu berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan upacara penamanan pokok sempena Kempen Penanaman Pokok MPS di kawasan terbuka, Jalan Bandong, pada Jumaat.
Dalam pada itu, Annuar komited untuk membantu MPS untuk menaik taraf dan menambah lagi fasiliti terutamanya gimnasium terbuka di taman tersebut.
Tapak yang dibangunkan menjadi taman itu menurutnya kawasan yang selamat untuk kegunaan aktiviti kecergasan
“Jadi kalau nak bersenam kita tak payah joging di tepi jalan, kita boleh guna ini untuk joging dan berjalan kaki di kawasan ini terutamanya untuk warga emas.
“Mereka boleh datang tempat ini untuk bersenam dan saya telah mencadangkan supaya ada tempat duduk dan membaca serta tempat kanak-kanak bermain,” ujarnya.
Terdahulu program tersebut menyaksikan sebanyak 15 pokok telah ditanam di tapak Taman Cergas Bandong.-TVS