LIMBANG, 16 Dis: Projek pembangunan di bawah Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) dengan peruntukan RM1.5 bilion akan diteruskan tahun depan dalam usaha merancakkan lagi pembangunan di wilayah utara negeri ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau, Dato Paulus Palu Gumbang berkata, peruntukan itu disalurkan untuk membina lebih banyak kemudahan dan infrastruktur asas, jalan raya, bekalan elektrik, air dan sebagainya.
“Projek NRDA dengan peruntukan RM1.5 bilion dan projek-projek yang lain masih diteruskan seperti Program Tranformasi Luar Bandar (RTP) dan sebagainya.
“Kita tahu banyak kerja akan menyusul selepas ini (tahun depan) dan kita berharap akan dapat melaksanakannya  dengan baik dan lancar kerana kita ini berbeza dengan bahagian-bahagian lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Purnama Sport Carnival (PURSCAR) 2023 di Purnama Hotel di sini, malam tadi.
Kata Paulus lagi, selain projek NRDA, projek-projek yang dilaksana di bawah agensi kerajaan terutamanya Jabatan Tanah dan Survei dan Jawatankuasa Pembangunan Bahagian juga diteruskan tahun depan.
“Tahun depan banyak kerja akan dibuat bukan saja di bawah Jabatan Tanah dan Survei, malahan juga Jawatankuasa Pembangunan Bahagian,” ujarnya.
Beliau turut berharap agensi kerajaan yang ada di bahagian ini terus bekerjasama rapat dalam menjayakan segala projek rakyat selain menyampai perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
“Yang penting adalah kita mengenali satu sama lain. Kita seharusnya berkenalan dengan pegawai dan anggota di jabatan lain,” katanya lagi. – TVS