TASEK GELUGOR, 12 Dis: Seorang pekerja ladang di Taman Kekal Pengeluaran Makanan, Ara Kuda di sini ditemukan tidak sedarkan diri di dalam sebuah tandas berkunci sebelum disahkan meninggal dunia hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, lelaki warga asing berusia 40-an itu dijumpai dalam keadaan tertiarap di dalam tandas selepas pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Tasek Gelugor tiba kira-kira jam 8.30 pagi.
“Mangsa ditemui tidak sedarkan diri, terperangkap di dalam tandas ladang berkenaan.
“Bomba kemudian bertindak membuka pintu tandas dengan peralatan khas sebelum dia disahkan meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Sementara itu, punca kejadian masih dalam siasatan pihak berkuasa. – TVS