KUCHING, 8 Ogos: Populariti sape sebagai alat muzik tradisi di Sarawak kini semakin diketahui oleh masyarakat antarabangsa.
Namun tahukah anda bahawa suatu ketika dahulu, alat muzik warisan kaum Dayak ini pernah ‘diharamkan’ disentuh oleh kaum wanita atau gadis.
Adakah mereka juga tidak dibenarkan bermain sape ketika itu?
Semua persoalan ini akan dikupas menerusi forum Sarawak Snapshots: Museum Talks anjuran Friends of Sarawak Museum (FoSM) yang bermula pada 20 Ogos ini di Borneo Cultures Museum (BCM).
Presiden FoSM, Datu Ose Murang berkata, program berkenaan bertujuan untuk mengajak orang ramai mengenali warisan di Sarawak.
“Salah satu ceramah bertajuk The Lost Instruments: Reviving Borneo’s Indigenous Boat Lute. akan mengetengahkan isu sape.
“Sebenarnya pada awal 80-an, sape kurang dikenali malah orang ramai tidak tahu jenis muzik yang boleh dihasilkan menerusi sape serta (pada masa itu), wanita dan gadis tidak dibenarkan menyentuh Sape,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media acara berkenaan di BCM di sini hari ini.
Sementara itu, Ose memberitahu, lima wakil dari Borneo Boat Lute Revival (BBLR) iaitu Ezra Tekola, At Adau, Hayree Hashim, Rining Peter Paris, dan Gindung Mc Feddy Simon akan berkongsi tentang hasil kerja mereka di samping demonstrasi.
“Sape pada hari ini telah menjadi permata bagi menonjolkan budaya di Sarawak khususnya untuk kaum Dayak.
“Sehubungan itu, kami berusaha untuk terus menjaga agar instrumen ini tidak hilang ditelan zaman,” katanya. – TVS