KULIM, 8 Ogos: Hasil bedah siasat ke atas mayat seorang lelaki membongkar kejadian pembunuhan oleh adiknya sendiri di Taman Sri Mahkota di sini semalam.
Bedah siasat hari ini di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar mendapati mangsa yang berusia 21 tahun mati selepas disyaki cederakan dengan senjata tajam.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd. Redzuan Salleh berkata, polis sebelum itu menerima laporan daripada abang mangsa yang berusia 26 tahun semalam mendakwa adiknya terjatuh semasa bekerja di kandang kambing.
Ujarnya, lelaki berkenaan telah membawa mangsa ke Hospital Kulim di sini kira-kira pukul 10.10 pagi sebelum disahkan meninggal dunia dan mayat mangsa dihantar ke HSB untuk tujuan post mortem.
“Laporan bedah siasat mendedahkan, mangsa meninggal dunia dengan terdapat kesan tikaman pada jantung.
“Hasil siasatan kemudiannya mendapati pengadu membuat laporan palsu untuk menyembunyikan keadaan sebenar,” katanya kepada pemberita hari ini.
Ujar beliau, siasatan lanjut polis mendapati telah berlaku pertengkaran dan pergelutan di antara mangsa dengan adik lelakinya yang berusia 18 tahun.
“Polis kemudian menahan abang dan adik tersebut yang masing-masing mempunyai dua rekod lampau bagi siasatan lanjut.
“Mereka direman selama tujuh hari sehingga 14 Ogos depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya lagi. – TVS


