KUCHING, 21 Jun: Organisasi Masyarakat Sivil (CSO) memainkan peranan penting terhadap dasar negara terutamanya kepada masyarakat yang terasing dan terpinggir, kata Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang.
Menurut beliau, CSO hadir bagi mendengar dan bertindak balas dengan cepat dan peka terhadap realiti tempatan.
“Keupayaan mereka untuk menyampaikan mesej perpaduan tidak didengari begitu sahaja dalam kenyataan dasar, tetapi dihayati dalam kehidupan seharian.
“Pendek kata, CSO adalah tangan dan kaki perpaduan nasional di peringkat bawah. Mereka menguatkan suara, membina perhubungan, mewujudkan ruang selamat untuk berdialog dan kebertanggungjawaban kami kepada nilai kita sebagai sebuah negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Malam Muhibbah 2025, malam ini.
Kata Aaron, kerja CSO mungkin tidak selalu menjadi tajuk utama, tetapi kesannya mendalam dan berpanjangan.
Dalam pada itu, kata Aaron, kementeriannya sedang merangka haluan dengan dasar baharu yang berkonsepkan ‘Negara Bangsa’.
“Visi ini merangkumi kepelbagaian kita yang kaya sekali gus menyatukan nilai kebersamaan, sejarah bersama, aspirasi kolektif dan asas perlembagaan yang mengeratkan antara satu sama lain.
“Kami bergerak melangkaui kempen perpaduan tradisional dan reaktif ke arah pendekatan transformasi yang mengiktiraf perpaduan sebagai kunci keutamaan pembangunan negara,” katanya.
Jelas Aaron lagi, pendekatan tersebut melibatkan penjajaran perpaduan dasar dengan sektor pendidikan, pembangunan belia, perancangan bandar dan naratif media untuk mewujudkan inklusif masyarakat. – TVS