BATU NIAH, 6 Jun: Seorang lelaki warga emas maut apabila kenderaan jenis pikap yang dipandunya terbabas ke dalam parit dalam kemalangan kendiri di Jalan Pan Borneo berhampiran Rumah Panjang Michael, Suai, di sini hari ini.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memaklumkan mangsa, Lee Bon Tat, 71, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat tersepit di dalam kenderaan yang terbalik.
Bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 11.25 pagi sebelum lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah digerakkan ke lokasi.
“Sebaik tiba, pasukan penyelamat mendapati pikap mangsa berada dalam keadaan terbalik di dalam parit.
“Difahamkan, mangsa sedang dalam perjalanan dari arah Bintulu menuju ke Batu Niah sebelum dipercayai hilang kawalan dan terbabas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya lagi, usaha mengeluarkan mangsa mengambil masa kerana kedua-dua pintu kenderaan tersepit pada dinding parit, menyukarkan ruang kerja.
“Pasukan bomba menggunakan khidmat penunda (towing) bagi mengalihkan kenderaan sebelum memotong pintu menggunakan peralatan penyelamat jalan raya (RTA).
“Sebaik pintu dibuka, didapati hanya seorang mangsa berada di dalam. Mangsa berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Operasi turut disusuli kerja-kerja pembersihan bagi memastikan laluan selamat kepada pengguna jalan raya lain. – TVS



