MIRI, 6 Jun: Majlis Bandaraya Miri (MBM) mengambil langkah tegas dengan memasang kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan tertentu bagi memantau dan membendung masalah pembuangan sampah haram yang masih berleluasa.
Timbalan Datuk Bandar Miri, Ariffin Mohamad berkata selain pemasangan CCTV, MBM turut menugaskan pegawai pemantau di lokasi terpilih untuk memastikan pengguna menggunakan kemudahan tong sampah besar ‘Roll-on Roll-Off’ (RORO) dengan berkesan.
“Walaupun perkhidmatan tong sampah RORO telah disambung semula selepas dihentikan sebelum ini, masih ada segelintir masyarakat yang membuang sampah di luar tong, bukannya di dalamnya.
“Ini merupakan salah satu masalah yang perlu ditangani oleh pihak majlis,” katanya ketika ditemui pemberita pada Hari Bersama Pelanggan MBM di Pasar Besar Lorong 10 Krokop, Miri, hari ini.
Ariffin menegaskan bahawa pendekatan paling berkesan dalam jangka panjang adalah dengan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai tanggungjawab menjaga kebersihan persekitaran.
“Sebaik sahaja semua pihak sedar dan faham akan tanggungjawab masing-masing, saya percaya isu ini dapat dikawal dengan lebih baik,” katanya.