KUNDASANG, 6 Jun: Kesiapsiagaan menghadapi bencana di kawasan berisiko tinggi seperti Gunung Kinabalu tidak boleh dikompromi, justeru latihan berterusan melibatkan pelbagai agensi penyelamat amat penting bagi memastikan tahap kecekapan dan kerjasama sentiasa berada pada tahap terbaik.
Latihan simulasi pengungsian dan peringatan gempa bumi Gunung Kinabalu yang berlangsung selama tiga hari bermula 3 Jun lalu menjadi medan ujian terhadap sistem penyelarasan, komunikasi dan prosedur pemindahan dalam situasi kecemasan sebenar.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Mohd Pisar Aziz berkata latihan itu melibatkan 69 peserta, termasuk 49 orang yang berada di sekitar pergunungan dan 20 di kaki gunung, dengan pelbagai senario disusun bagi menguji kesiapsiagaan secara menyeluruh.
“Latihan seperti ini amat penting untuk menilai tahap kecekapan, kerjasama dan komunikasi antara agensi penyelamat serta komuniti setempat dalam menghadapi situasi kecemasan,” katanya ketika berucap pada majlis penutupan latihan di Taman Kinabalu di sini, semalam.

Beliau berkata, kerjasama erat yang ditunjukkan sepanjang latihan amat membanggakan dan harus dijadikan penanda aras bagi latihan seumpamanya pada masa depan.
Antara agensi yang mengambil bahagian ialah Taman-Taman Sabah, Majlis Keselamatan Negara (MKN), JBPM Sabah, Kementerian Kesihatan Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), KEPSAS, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Persatuan Malim Gunung, Persatuan Porter, Mountain Torq, KOKTAS, Sutera Sanctuary Lodge dan Sabapak Eco Berhad.
Mengimbas tragedi gempa bumi pada 5 Jun 2015 yang meragut 18 nyawa termasuk pendaki dan malim gunung, beliau berkata kejadian berkenaan menjadi titik perubahan besar dalam pendekatan keselamatan di Gunung Kinabalu.
“Masih segar dalam ingatan kita peristiwa 5 Jun 2015 apabila gempa bumi berukuran 6.0 magnitud menggegarkan Ranau dan kawasan sekitarnya.
“Tragedi itu meragut 18 nyawa termasuk pendaki dan malim gunung serta mengubah sepenuhnya pendekatan keselamatan di Gunung Kinabalu,” katanya.