KUCHING, 6 Jun: Umat Islam diingatkan agar tidak sekadar meraikan Hari Raya Aidiladha dengan kemeriahan semata-mata, sebaliknya menghayati nilai ibadah yang terkandung dalam setiap amalannya.
Pengurus Dakwah HIKMAH Sarawak, Sarbini Dahlan berkata terdapat keperluan untuk memperbetul kefahaman dalam kalangan umat Islam mengenai maksud sebenar menyambut hari kebesaran itu.
“Kita menyambut, bukan sekadar meraikan. Menyambut bermaksud menanti kedatangan Aidiladha dengan penuh persediaan rohani dan jasmani.
“Jika hanya meraikan tanpa nilai ibadah, bimbang kita terkeluar daripada maksud sebenar sambutan itu,” katanya ketika ditemui TVS di Ibu Pejabat HIKMAH, hari ini.
Beliau menjelaskan, Aidiladha itu sendiri adalah ibadah dan seluruh pengisiannya perlu berpaksikan kepada sunnah Nabi Muhammad S.A.W.
Antara amalan yang perlu diberi perhatian ialah takbir, solat sunat Aidiladha, mandi sunat serta adab pergi dan pulang dari masjid.
Beliau turut menekankan bahawa berbeza dengan Aidilfitri, umat Islam disunatkan berpuasa sebelum solat Aidiladha dan tidak makan terlebih dahulu sebelum ke masjid.
“Kesemua ini adalah sunnah yang perlu terus dihidupkan,” tambahnya.
Menurut Sarbini, semangat Aidiladha mencerminkan ketundukan mutlak seorang hamba terhadap perintah Allah S.W.T.
“Kita bertakbir, menyembelih dan mengagihkan daging korban semata-mata kerana Allah. Itulah bentuk ibadah yang hakiki tanpa mengharapkan ganjaran duniawi,” katanya.
Menurut beliau, pelaksanaan ibadah korban juga tidak membenarkan sebarang upah atau bayaran kepada pelaksana korban kerana ia adalah ibadah, bukan perniagaan.
Beliau turut mengaitkan Aidiladha dengan penyatuan umat Islam sejagat melalui ibadah haji yang menzahirkan kesatuan akidah tanpa batasan bangsa, bahasa atau negara.
“Di Tanah Suci, tidak wujud lagi perbezaan. Semua jemaah adalah sama, tunduk kepada satu Tuhan dan mengikuti ajaran Nabi yang sama,” ujarnya. – TVS


