KUALA LUMPUR, 18 Mei: Akta khusus bagi mengawal selia aktiviti muzium di seluruh negara dijangka dibentangkan di Parlimen seawal November tahun ini.
Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, akta tersebut sedang dalam peringkat penyediaan dan dijangka akan dibawa ke Kabinet.
“Sekarang ini muzium bersama kementerian sedang merangka satu akta khusus untuk mengawal selia aktiviti muzium di seluruh negara.
“Ia masih dalam proses dan kita berharap ia dapat diluluskan untuk dibawa ke Kabinet dan seterusnya ke Parlimen,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Seminar Hari Muzium Antarabangsa Malaysia 2025 di Kuala Lumpur, pada Ahad.
Menurutnya, akta berkenaan penting bagi menyelaras pengurusan kesemua muzium merangkumi peringkat persekutuan, institusi yang dikendalikan kerajaan negeri dan muzium peribadi.
“Kita perlu banyak sesi libat urus kerana di Malaysia ini kita ada banyak muzium swasta, muzium negeri dan muzium persekutuan.
“Akta ini bertujuan untuk menyelaraskan semua muzium agar ada satu rangka kerja undang-undang yang jelas dan memastikan pengurusan muzium lebih berkesan serta mampan,” ujarnya.-TVS