Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang melancarkan Projek Pembangunan Stesen Pengisian Hidrogen Mudah Alih (MHRS) hari ini.

MHRS pacu infrastruktur mobiliti hidrogen

ByTVS

PUTRAJAYA, 9 Mei: Malaysia mengambil langkah signifikan ke arah masa depan tenaga bersih dengan memperkenalkan Projek Pembangunan Stesen Pengisian Hidrogen Mudah Alih (MHRS), yang berfungsi sebagai pemacu inovasi dalam sektor mobiliti berasaskan hidrogen.

Projek rintis pertama sektor mobiliti hidrogen di Semenanjung Malaysia, MHRS yang menelan kos RM15 juta, terletak di Presint 2, Putrajaya dan mampu membekalkan hingga 50 kilogram hidrogen sehari melalui stesen berskala kecil itu.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang, berkata MHRS bukan sahaja memacu penyelidikan dan pembangunan dalam teknologi hidrogen dan sel bahan api, tetapi juga menyokong sasaran negara untuk mencapai sifar pelepasan karbon menjelang 2050.

“Buat masa ini, tiada penggunaan kenderaan hidrogen di Malaysia, namun kita mempunyai pembekal kenderaan hidrogen (FCEV). Infrastruktur asas bagi pengisian hidrogen dalam FCEV perlu disediakan bagi mempercepat penggunaan hidrogen sebagai bahan api dalam sektor pengangkutan dan mobiliti,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan MHRS di sini, hari ini.

Projek itu mendapat sokongan daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui Pusat Nanoteknologi Kebangsaan (NNC) dan Nano Malaysia Berhad (NMB) dengan kerjasama PETRONAS Technology Ventures Sdn Bhd (PTVSB), Sime UMW, UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT), dan Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC).

NMB, sebagai pentadbir aset yang mewakili MOSTI, bertindak sebagai pengendali stesen MHRS dan tapak ujian untuk teknologi baharu bagi meneroka peluang komersial jangka panjang.

PTVSB membekalkan hidrogen dan menyelia kerja-kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan, dan pentauliahan stesen (EPCC), manakala Sime UMW dan UMWT menyumbangkan tiga kenderaan berkuasa hidrogen Toyota Mirai serta menyediakan perkhidmatan operasi dan penyelenggaraan.

Mengulas lanjut, Chang berkata MHRS berperanan mendidik masyarakat mengenai status semasa teknologi hidrogen dan menunjukkan bahawa hidrogen kini boleh digunakan sebagai bahan api untuk kenderaan.

“Namun, kita perlu mewujudkan ekosistem dahulu kerana kita bermula dari awal. Kita tidak mempunyai pengguna dan bekalan, tetapi kita sasarkan menjelang 2030 sudah ada kenderaan FCEV di jalan raya Malaysia,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan