ABERDEEN, 6 Jun: Sarawak sekali lagi menonjolkan kedudukannya sebagai peneraju tenaga bersih di Asia Tenggara menerusi pembentangan hala tuju strategik di Persidangan Eksport Tenaga (EEC) 2025 di Aberdeen, United Kingdom.
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr. Hazland Abang Hipni, pada persidangan itu membentangkan visi berani Sarawak untuk masa depan tenaga yang mampan dan berdaya saing global yang berasaskan kepada inovasi, pelaburan strategik dan kerjasama serantau.
“Sarawak berbangga menjadi pelopor pembangunan tenaga bersih di ASEAN. Penglibatan kami dalam EEC 2025 mencerminkan kesediaan kami untuk menjalin kerjasama global baharu dan mengeksport penyelesaian tenaga rendah karbon ke seluruh dunia,” katanya dalam ucaptama pada persidangan tersebut.
Beliau menjelaskan bahawa strategi tenaga Sarawak berasaskan kepada empat teras utama iaitu tenaga boleh diperbaharui, gas asli, penangkapan dan penyimpanan karbon (CCS) dan hidrogen.
Tambahnya, keempat-empat hab ini dibangunkan untuk memperkukuh ketahanan tenaga serantau serta menyokong pertumbuhan mampan.
“Peralihan tenaga di Sarawak didorong oleh dasar yang kukuh, pelaburan berterusan dalam teknologi dan komitmen terhadap kelestarian.
“Lebih 70 peratus bekalan elektrik kami (Sarawak) kini dijana daripada kuasa hidro dan kami sedang giat meningkatkan kapasiti tenaga boleh diperbaharui menjelang 2030 dan 2035,” jelasnya lagi.
Dr Hazland berkata Sarawak mengukuhkan peranannya sebagai “Bateri ASEAN” menerusi peningkatan keupayaan eksport tenaganya dengan membekalkan tenaga ke Kalimantan Barat, Brunei, Sabah dan Singapura dalam masa terdekat.
“Sarawak bersedia menjadi hab tenaga bersih untuk rantau ini (Asia Tenggara) dan kami sedang melangkah lebih jauh dengan infrastruktur serantau.
“Dalam bidang gas asli dan CCS, Sarawak menerajui Malaysia dari segi rizab dan potensi, manakala dalam teknologi hidrogen, negeri ini menjadi perintis dengan pelbagai projek utama serta penggubalan undang-undang khas untuk menarik pelabur antarabangsa,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel dalam ucapan pada persidangan sama menegaskan platform global seperti EEC memainkan peranan penting dalam membina ekosistem tenaga yang lebih berdaya tahan dan inklusif.
“Penyertaan kita di Aberdeen ini adalah satu pernyataan hasrat yang jelas. Sarawak terbuka untuk perniagaan, terbuka untuk inovasi dan bersedia untuk menerajui eksport tenaga bersih,” ujar beliau.
Pada persidangan tersebut, Sarawak Energy Berhad (SEB) membentangkan rancangan jangka panjang untuk integrasi grid merentas sempadan dan agenda kemampanan syarikat, manakala SEDC Energy menekankan kerjasama aktif bersama rakan kongsi dari Jepun dan Korea Selatan dalam membangunkan keupayaan eksport hidrogen dan ammonia.
Dengan pengiktirafan antarabangsa daripada Forum Ekonomi Dunia serta acara besar akan datang seperti Minggu Tenaga Antarabangsa 2025 dan SAREF 4.0, Sarawak menyeru rakan-rakan global untuk bersama dalam perjalanan ke arah masa depan tenaga yang lestari. – TVS

